KisahSeorang janda dan dua lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi mensabitkan mereka dengan kesalahan membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu, yang mayatnya masih belum ditemui sehingga kini.
Penjara Pudu |
Hakim Datuk Abdul Halim Aman, membuat keputusan itu terhadap Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 28; Mohd Zulhiami Md Darus, 33, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 25, yang didakwa membunuh Muhammad Fairul Haqimmie Mokhtar pada 29 Ogos 2016.
Abdul Halim ketika membaca keputusan, berkata pembelaan ketiga-tiga tertuduh secara keterangan bersumpah dalam kandang saksi adalah berbentuk rekaan dan penafian semata-mata.
Abdul Halim turut menyifatkan perbuatan dilakukan semua tertuduh adalah kejam, teruk dan tidak berperikemanusiaan, selain perbuatan itu dilakukan dengan niat mematikan mangsa.
“Melihat situasi ini, keterangan ditampilkan saksi ketujuh pendakwaan iaitu seorang saksi mata, jelas menyatakan dia nampak tertuduh ketiga (Muhammad Rahmat) memukul kuat kepala si mati dengan kayu hingga menyebabkan kayu berkenaan patah.
“Si mati dalam keadaan terbaring. Dia (saksi ketujuh) kata nampak si mati rebah menggelupur dan nampak darah di lantai serta dinding akibat pukulan itu.
“Sebelum si mati pengsan, saksi nampak Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat berbincang, malah Siti Nor Asiah mencadangkan mayat dibungkus dengan tilam. Muhammad Rahmat memberitahu saksi, dia memukul si mati atas upah duit yang ditawarkan Siti Nor Asiah,” katanya.
Berikutan itu, Abdul Halim memerintahkan semua tertuduh digantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, seperti tuduhan dihadapi mereka.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi pada 29 Ogos 2016 di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa Klang.
Muhammad Rahmat juga turut didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada jam 4 pagi, di lokasi dan hari sama.
Sepanjang prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak, seramai 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan 41 eksibit dikemukakan.
No comments:
Post a Comment